Wednesday, 5 April 2017
Dewan Rakyat dijangka 'hangat' esok
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat esok dijangka 'hangat' dengan tumpuan pastinya terarah kepada pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) esok. Presiden PAS itu dijangka membentangkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355) pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, dijangka sekitar jam 5 petang. Akhbar BH semalam melaporkan ada petanda jelas dan boleh dipercayai yang Abdul Hadi akan berpeluang membentangkan RUU 355 esok, berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku di Parlimen minggu ini. Antara petunjuk jelas itu ialah apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan tertutup dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), pada Isnin lalu serta kelmarin. Malah, Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) dalam akaun Facebooknya turut menyeru seluruh umat Islam di negara ini mengadakan solat dan munajat malam ini agar Allah memberi kesihatan, kekuatan dan kemudahan kepada Abdul Hadi membentang RUU 355 dan dibahaskan esok. Sementara itu, bibit-bibit 'panas' di Dewan Rakyat mulai menjelma apabila ada dakwaan daripada Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mengatakan ada kemungkinan Ahli Parlimen akan berusaha untuk menggagalkan RUU itu daripada dibentangkan. Sebelum ini pun, ada dalam kalangan Ahli Parlimen khasnya bukan Islam dilihat bersungguh-sungguh menentang usaha Abdul Hadi membentangkan RUU 355 di Parlimen. Difahamkan, kawalan keselamatan di kawasan Parlimen juga dijangka akan dipertingkatkan esok bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti demonstrasi daripada pihak yang menentang RUU 355 dibentangkan. Malah, usaha untuk menggagalkan RUU itu dibentangkan turut berlaku hari ini apabila bekas Ahli Parlimen Benut, Mohamed Tawfik Ismail menghantar dokumen perisytiharan kepada Pandikar Amin bagi menghalang usul meminda RUU 355 dibentangkan di Parlimen. Bagaimanapun, keputusan untuk membenarkan RUU 355 dibentangkan esok masih bergantung kepada kuasa dan budi bicara Speaker Dewan Rakyat.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/268383
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment